Bersama Wan Mohd Saghir Abdullah
PEMBICARAAN perubatan yang menggunakan pelbagai jenis herba banyak diperkatakan kebelakangan ini. Bagaimanapun, kira-kira 100 tahun lalu, Syeikh Ahmad al-Fathani mendahului membicarakan persoalan ini. Namun, sejarah mengenainya tidak banyak diketahui oleh generasi hari ini.
Sejarah perubatan dunia Melayu perlu dikaji dan diperkenalkan kepada masyarakat.
Oleh itu, kali ini diperkatakan kitab Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan. Kandungan ditulis dalam bahasa Melayu. Tarikh selesai penulisan Dhuha, pada Isnin, 3 Zulhijjah 1312 Hijrah/28 Mei 1895 di Makkah.
Nama lengkap pengarang pada akhir kitab dalam semua cetakan ialah Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad al-Fathani.
Pada kulit semua cetakan ditulis: “Pada bicara ilmu thib, iaitu ilmu mengubati dengan bahasa Melayu. Melengkapi ia atas beberapa banyak faedah. Dan faedah pada ilmu ini, hanya atas beberapa banyak ubat yang banyak adanya..."
Pada bahagian mukadimah Syeikh Ahmad al-Fathani mengemukakan pelbagai pendapat beliau mengenai perubatan di dunia Melayu. Syeikh Ahmad al-Fathani menyarankan kepada raja Melayu supaya mengeluarkan perbelanjaan untuk penyelidikan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan yang di dunia Melayu. Hal ini kerana banyak yang boleh dijadikan ubat untuk pelbagai penyakit.
Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, bangsa Eropah, Cina, India dan bangsa lain sudah lama menggunakan tumbuh-tumbuhan di dunia Melayu sebagai bahan perubatan.
Pada akhir mukadimah, Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut: "Bermula thib itu, ilmu yang dengan dia dipeliharakan sihat yang ada, dan dengan dia dikembalikan sihat yang telah hilang."
Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu perubatan itu ada kelebihan tersendiri. Dalam hal ini, Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa ada hadis yang menyebut perkara itu. Kata beliau: “...telah diriwayatkan pada hadis, bermula ilmu itu dua ilmu. Satu ilmu abdan. Dan satu ilmu adyan. Dan ilmu abdan itu dua ilmu. Satu ilmu bagi agama. Dan satu ilmu bagi dunia. Maka ilmu bagi agama adalah ilmu fiqh. Ilmu bagi dunia adalah thib."
Syeikh Ahmad al-Fathani menulis selanjutnya: "Dan telah sah, bahawa Nabi SAW menyuruh dengan berubat. Dan berkata sesetengah hukama "Tiga perkara yang tiada sayugia bagi orang yang berakal meninggalkannya. Pertama: ilmu yang jadi bekalnya bagi akhiratnya. Kedua, pekerjaan yang tertolong ia dengan dia atas pekerjaan agamanya dan dunianya. Ketiga, thib (perubatan) yang menghilang ia dengan dia akan penyakit daripada jasadnya."
Selepas mukadimah yang begitu panjang, Syeikh Ahmad al-Fathani membicarakan perubatan yang mengandungi beberapa fasal. Semua yang terkandung dalam fasal itu adalah penting.
Akhirnya, Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan ditutup dengan "suatu Khatimah". Pada bahagian ini Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut sebab terjadinya sesuatu penyakit. Antaranya seseorang yang menahan sendawa boleh mengakibatkan batuk, badan menggigil dan sakit jantung. Menahan daripada menguap boleh mengakibatkan badan menggigil, parau suara dan kulit mengkerucut. Menahan daripada bersin boleh menyebabkan lenguh, sakit kepala, mata kabur dan pekak. Selalu dalam keadaan lapar boleh mengakibatkan tuli, mata kabur dan pening.
Syeikh Ahmad al-Fathani menganjurkan supaya seseorang suka mengamalkan makan segera ketika pagi dan makan ketika petang kerana faedahnya bagi memelihara mata. Minum tujuh teguk air suam dapat menghindari batuk.
Apa yang disebutkan hanya petikan sebahagian kecil perubatan dalam Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan pada halaman akhir. Terlalu panjang untuk dibicarakan keseluruhannya.
Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan pertama kali dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, pertengahan Zulhijjah 1313 Hijrah/Jun 1895. Cetakan kedua dilakukan oleh percetakan sama pada pertengahan Safar 1332 Hijrah/Januari 1914. Dicetak pula oleh Persama Press, 83-85 Achen Street, Pulau Pinang pada 16 Safar 1374 Hijrah/13 Oktober 1954, tebal 63 halaman. Dinyatakan sebagai cetakan ketiga.
Diperbanyak kembali oleh saya iaitu dari naskhah cetakan pertama, 1416/1995 dan 1996 (cetakan keempat).
Cetakan pertama ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani atau pengarangnya sendiri. Sebagai penutup artikel ini, perlu saya sebutkan bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai orang Melayu yang pertama belajar perubatan. Beliau mempelajari perubatan mulai yang berkembang zaman dari Ibnu Sina hingga ke zaman beliau.
Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani berusaha menggabungkan jenis perubatan dunia luar dengan spesies tumbuh-tumbuhan di dunia Melayu. Syeikh Ahmad al-Fathani membicarakan perubatan bukan hanya dalam Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan saja, malah dalam perbahasan mengenai perubatan yang termaktub dalam Qanun Ibnu Sina yang ditulis dalam bahasa Arab.
Selain itu, dalam karya beliau Hadiqatul Azhar war Rayahin dan Luqthatul 'Ajlan juga ada beberapa jenis perubatan.